I made this widget at MyFlashFetish.com.

Wednesday 22 February 2012

Jangan kau pergi 12

Hafiya terus menepuk punggung Alif yang sedang nyenyak tidur di dalam pangkuannya. Elman disebelah tekun memandu. Mereka sama-sama mendiamkan diri. Hafiya teringat kejadian semalam. Kejadian yang hampir membuatkan dirinya pengsan lagi. Selepas memberi Ina makan dan menidurkan semula anaknya itu, Hafiya kembali ke bilik mereka. Ketika sampai dibilik Elman tiada dibilik. Hafiya pun terus masuk ke bilik air untuk mencuci muka. Hampir 5 minit mencuci muka dan memberus gigi, Hafiya keluar. Ketika dia keluar dari bilik air, wajah Elman terpancul dihadapan pintu bilik air.
“Awak ni kenapa?” Hafiya bertanya pelik. Elman tersengih nakal. Hafiya kecilkan mata. Wajah suaminya ketika itu sangat pelik. Seperti menyimpan niat yang tak elok.
“Kita sambung yang tergendala tadi okey tak?” Hafiya kerutkan dahi. Wajah nakal suaminya membuatkan Hafiya sedikit kecut. Perlahan dia berudur ke belakang.

“Jangan nak buat apa-apa kat saya. Nanti saya menjerit,” Hafiya bersuara gugup. Elman garu kepala sambil terus tersenyum.
“Kenapa pulak nak menjerit.” Elman bersandar di dinding bilik. Matanya memerhati jari-jemarinya. Hafiya berundur ke belakang bila Elman semakin menghampirinya.
“Saya nak tidur.” Hafiya terus melompat ke atas katil dan menarik kain selimut menutupi tubuhnya. Elman tergelak.
“Ehh...apa awak nak buat ni?” Hafiya bertanya gugup bila merasakan tangan kasar itu memeluk pinggangnya. Kepala mula terasa pening, namun Hafiya berusaha mengawalnya. Bimbang Elman akan mengambil kesempatan ke atasnya jika dia pengsan.
“Saya nak peluk isteri saya, salahkah?” Hafiya berusaha menolak tubuh Elman yang terasa melekat dibelakangnya. Elman pula tergelak sakan. Dapat melihat wajah kelat isterinya itu memang menambahkan keceriaan dalam hatinya. Sehari tidak mengusik si isteri memang tidak lengkap hidupnya. Semakin Hafiya menolak semakin kuat tangannya memeluk pinggang isterinya.
“Awak...awak...saya...sa..ya.” Hafiya tercungap-cungap. Dadanya terasa sesak. Darah gemuruhnya datang lagi. Elman tersentak dan terus melepaskan pelukannya bila menyedari Hafiya hampir pengsan.
“Awak tak apa-apa?” Elman membantu Hafiya duduk dan mengurut belakang tubuh isterinya. Hafiya mengusap dadanya yang terasa sesak nafas. Setelah reda, Hafiya menghadiahkan jelingan maut pada isterinya.
“Kenapa tengok saya sampai macam tu sekali? Saya gurau je tadi.” Elman berkata gugup. Hafiya berdengus kasar dan terus menarik kain selimut menutupi badannya.
“Awak ni lucu betullah. Saya nak ingatkan, saya ni suami awak, saya boleh buat apa saja pada awak. Jadi, saya nak awak biasakan diri dengan saya. Lagi satu...” Hafiya berpaling ke arah Elman. Dia tidak sedar mereka sudah jauh meninggalkan perkarangan rumah keluarga Elman. Hafiya pandang ke belakang. Nurina sudah tertidur. Alif juga begitu. Lama juga dia mengelamun tadi. Semuanya kerana lelaki disebelahnya itu.
“Apa yang awak merepek ni?” Hafiya bertanya pelik. Wajah Elman ditatap dengan riak kurang pasti.
“Apa yang merepeknya pulak? Memang betul saya ni suami awak. Kenapa? Tak dapat terima kenyataan yang awak sudah berkahwin lagi?” Elman bertanya sinis. Hafiya mengeluh. Malas hendak bergaduh dengan Elman. Tetapi lelaki itu tidak memahaminya. Dia tidak suka bergaduh, baginya bergaduh hanya menambah masalah. Tapi kenapa Elman suka sangat menimbulkan masalah yang akhirnya membuat mereka bergaduh.
“Malas nak layan awak. Saya nak tidur,” Hafiya pejamkan mata.
“Err...Mana boleh awak tidur masa saya tengah memandu? Nanti kalau saya pun tidur, alamatnya kita semua duduk kat dalam rumah tiang dua lah jawabnya,” Elman menoleh sekilas pada isterinya. Hafiya membulatkan matanya.
“Mulut awak ni, tak ada insuran agaknya. Boleh pulak dia sebut perkara-perkara pelik macam tu,” Hafiya membebel. Elman tersengih.
“Kalau awak tidur, siapa nak temankan saya. Saya tak suka kalau keadaan sunyi sangat. Bolehkan, sayang?” Elman bersuara manja. Berdiri bulu roma Hafiya mendengar suara manja suaminya.
“Eiii...awak ni, seram saya dengar awak cakap macam tu. Tak sesuai langsung,” Hafiya gosok lengannya yang tiba-tiba terasa sejuk. Elman tersengih.
“Kenapa? Suami awak yang dulu tu tak pernah panggil awak sayang?” Hafiya menjeling lagi. Dia tidak suka perkara lama diungkit.
“Boleh tak awak jangan ungkit kisah lama saya. Ianya takde kena mengena dengan awak. Dan, lagi satu, saya tak suka awak peluk saya sesuka hati.” Hafiya berkata geram. Elman tersenyum. Teringat kejadian semalam. Beberapa saat kemudian dia tersenyum lagi. Nampaknya sudah ada perubahan. Dari hari ke hari, Hafiya sudah mula senang didekati. Dia sudah berjaya mengatasi rasa takutnya bila disentuh oleh Elman.
“Ye ke? Rasanya memang ada kena mengena pun. Saya nak tahu juga, kenapa lelaki tu sanggup tinggalkan isteri dan anak-anaknya. Kalau berkahwin dua atau tiga bulan, tak mengapa jugak. Kamu berdua dah ada anak, tapi kenapa masih juga berpisah? Tak kasihan dekat budak-budak ni?” Elman sentuh kepala Alif. Hafiya mengeluh.
“Kalau tak tahu cerita, tak payah nak buat kesimpulan.” Hafiya bersuara tegas. Elman jungkit bahu.
“Tapi, sebagai suami, saya berhak untuk tahu kisah silam awak. Lagipun, dengan cara perkahwinan kita ni, rasanya awak memang patut jelaskan semua perkara pada saya. Saya tak nak ada rasa sangsi antara kita. Awak nak saya berfikir perkara yang tidak elok tentang awak?” Elman bersuara tenang. Hafiya tarik nafas.
“Suka hati awak nak fikir saya ni perempuan yang bagaimana. Kita tak boleh nak paksa orang untuk terima diri kita.” Hafiya berkata perlahan. Hafiya tahu dia terlalu kasar terhadap Elman. Namun dia tiada pilihan lain kerana dengan cara itu dia dapat mengawal diri dari membina harapan yang tidak pasti. Dia serik untuk menganyam harapan yang pasti akan mengecewakannya kelak.
“Kenapa? Awak tak yakin dengan hubungan kita ini?” Elman bertanya lagi. Hafiya berdengus kasar.
“Boleh tak kita jangan bercakap tentang perkara ni dalam dalam masa terdekat. Saya belum bersedia,” Hafiya berkata perlahan. Elman mengeluh.
“Kita harus bincang perkara ni. Kalau boleh saya nak selesaikan perkara ni secepat mungkin. Sebenarnya saya terganggu dengan masalah yang tak pernah selesai antara kita.” Elman bersuara tenang. Hafiya tarik nafas kemudian dia menghembusnya perlahan. Memang, kalau boleh dia pun mahu perkara itu selesai secepat mungkin, namun apa jalan penyelesaian yang ada? Dia sendiri keliru dengan sikapnya. Sebahagian hatinya ingin pergi dari hidup lelaki itu, sebahagian lagi mengharapkan dirinya terus menjadi isteri Elman.
“Saya rasa jalan yang terbaik adalah kita berpisah. Awak tentu ada kehidupan sendiri yang awak inginkan.” Perlahan Hafiya menutur kata.
“Aduh!!!” Hafiya sentuh dahinya.
“Kenapa dengan awak ni? Kenapa berhenti mengejut macamni?” Elman pandang wajah Hafiya dengan satu pandangan yang tajam. Dibelakang, beberapa buah kereta turut sama berhenti mengejut. Mujur juga tiada kemalangan yang berlaku.
“Apa awak cakap tadi? Berpisah? Awak ingat dengan berpisah, perkara ini akan selesai? Begitu?” Hafiya tersentak bila mendengar Elman menjerit kuat. Berkelip-kelip matanya setiap kali Elman bersuara.
“Pernah tak awak fikir apa perasaan saya? Saya baru saja mengajar di sekolah itu dan kena tangkap basah dengan awak lepas tu kena kahwin dengan awak lagi. Saya malu nak mengadap mereka kat sekolah tu, awak tahu bagaimana saya kawal diri?” Hafiya menunduk. Takut hendak memandang wajah Elman yang sedang marah.
“Saya katakan pada diri saya, saya adalah penyelamat awak dan anak-anak awak. Mungkin Allah temukan kita sebab awak perlukan lelaki untuk melindungi diri dan anak-anak. Kalaupun awak tak perlukan saya, fikirkan tentang anak-anak awak. Saya boleh terima mereka dan awak kena ingat selagi awak isteri saya, mereka juga anak-anak saya. jangan pentingkan diri saja,” Elman berkata kasar dan memandu semula. Hafiya tertunduk lagi. Bukan niat hati hendak menimbulkan kemarahan lelaki itu, dia hanya ingin memberi jalan supaya Elman dapat meneruskan hidup dengan perempuan yang dia cintai.
“Maafkan saya. Saya hanya...” Hafiya tersentak bila Elman bersuara sebelum sempat dia menghabiskan bicara.
“Saya tak nak dengar apa-apa lagi. Kalau awak nak tidur, tidurlah. Tolong jangan ganggu saya,” Elman memandang terus ke hadapan. Hafiya mengeluh kecewa.
“Saya minta maaf,” Hafiya sekali lagi memohon maaf. Rasa bersalah timbul bila melihat wajah tegang suaminya. Tentu Elman berkecil hati dengannya.
“Saya tak nak dengar apa-apa dari mulut awak sekarang. Tolong senyap,” Sekali lagi Hafiya terasa hati. Elman benar-benar marahkannya. Sepanjang perjalanan mereka hanya mendiamkan diri. Hafiya terus merenung wajah masam suaminya. Elman membiarkan Hafiya menanggung rasa bersalah.
Ketika mereka sampai di kampung, Azan Maghrib berkumandang. Elman mengejutkan Hafiya setelah selesai membawa barang mereka ke dalam rumah. Hafiya menggosok matanya yang masih terasa mengantuk.
“Dah sampai?” Soalnya perlahan. Dia terjaga bila tangan kasar Elman terkena lengannya ketika lelaki itu mahu mengambil Alif dari pangkuan Hafiya. Elman mendiamkan diri dan membawa Alif ke dalam rumah. Hafiya menggeliat seketika sebelum keluar dari kereta. Perlahan langkah kaki di atur ke tangga. Setelah memastikan tiada barang yang tertinggal, Elman mengunci kereta dan terus berlalu ke bilik mandi untuk membersihkan diri. Hafiya hanya memerhati Elman yang langsung tidak menghiraukan dirinya.
“Awak masih marahkan saya?” Hafiya bertanya sambil mengekori langkah kaki Elman ke bilik air. Elman tetap berwajah selamba.
“Awak, saya minta maaf. Saya janji, takkan ulang lagi perkara tu? Tolong maafkan saya,” Hafiya bersuara perlahan. Bimbang mengejutkan anak-anaknya yang sedang tidur. Elman terus mendiamkan diri. Hanya bunyi air menandakan lelaki itu sedang mandi. Hafiya mengeluh. Kemudian dia terus menuju ke dapur untuk menyediakan makan malam mereka sementara Elman mandi.
************************

Jangan kau pergi 11

Hafiya melangkah perlahan menghampiri Elman yang leka memerhati gelagat Nurina dan Alif. Dulang berisi Nescafe panas diletakkan di atas meja. Elman mendongak dan memandang wajah Hafiya kemudian berpaling semula ke arah Nurina dan Alif.
“Tengok mereka berdua tu? Kat kampung tak dapat bermain macam tu,” Elman bersuara gembira. Hafiya angguk kepala. Wajah ceria Elman di tatap. Mulut Elman begitu becok sekali memuji anak-anak Hafiya.
“Awak, saya ada perkara nak bincang dengan awak,” Hafiya bersuara perlahan. Elman pandang wajah Hafiya sekilas.
“Bincang? Tentang apa?” Elman pandang wajah serba salah Hafiya. Hafiya duduk di hadapan Elman. Wajahnya sedikit pucat.
“Awak masih sakit perut? Kalau sakit kita ke klinik?” Elman meletakan belakang tangannya ke dahi Hafiya. Hafiya tersentak dan pantas dia menepis tangan kasar itu dari melekat di dahinya.
“Saya ok. Saya tak apa-apa.” Elman kerutkan dahi.
“Apa yang awak nak bincangkan tu?” Hafiya senang bila Elman membahasakan dirinya saya dan awak. Sejuk rasa hatinya. Semakin lama mengenali Elman, dia semakin mula memahami lelaki itu. Mungkin semasa di awal perkahwinan mereka dulu, Elman marahkan dirinya. Yelah, siapa yang suka bila terpaksa berkahwin dengan perempuan yang dia tak kenali. Lebih-lebih lagi janda beranak 2 macam dirinya. Hafiya mengeluh.
“Saya ingat nak terima cadangan papa. Kerja kat syarikat dia,” Hafiya bersuara perlahan. Elman pandang wajah Hafiya. Sebenarnya, dia tahu rancangan papanya hendak mengambil Hafiya bekerja di syarikatnya. Namun dia terasa berat hati hendak melepaskan Hafiya. Dia sendiri tidak pasti mengapa.
“Papa dah bagi tahu tentang tu pada awak?” Hafiya kerutkan dahi. Wajah Elman di pandang.
“Kenapa? Awak dah tau?” Perlahan Elman angguk kepala. Sudah lama papanya menyuarakan hasrat untuk mempelawa Hafiya membantunya di syarikat. Ini semua kerana Elman langsung tidak menunjukan minat untuk menjadi usahawan. Dia bimbang, syarikat yang diusahakan itu tidak punya penganti.
“Awak betul-betul nak bekerja dengan papa?” Hafiya tunduk merenung kaki sendiri, kemudian dia angkat muka dan mengangguk perlahan.
“Saya nak cuba.” Elman bersandar malas. Namun wajahnya merona merah.
“Habis tu, saya macamana? Saya kena tinggal sorang kat kampung tu?” Elman tiba-tiba bersuara kuat. Hafiya tersentak.
“Errr...awak ni kenapa? Perlahan sikit suara tu. Nanti hairan orang dengar,” Elman picit kepala. Dia bingung. Perasaannya sukar untuk di kawal. Tanpa mereka sedari, dua pasang mata memerhati gelagat mereka dari dalam rumah.
“Abang, betul ke apa yang kita buat ni?” Pn.Mariam bertanya pada suaminya. Suaminya hanya tersenyum. Dia sudah merancangkan sesuatu untuk masa depan Elman dan Hafiya. Dia tidak mahu hubungan itu sia-sia.
“Percayalah. Abang pasti ianya akan menjadi.” En.Ezhan berkata yakin. Pn.Mariam masih bimbang.
“Bagaimana kalau Hafiya batalkan niat dia tu?” Pn.Mariam bertanya gusar. Wajah suaminya dipandang. Segaris senyum terpapar diwajah En.Ezhan.
“Itu lagi baik. Tandanya, Fiya dah mula sayangkan Elman. Jadi kita tak perlulah susah-susah nak satukan mereka.” Pn.Mariam angguk kepala.
“Tetapi, abang tetap akan pujuk Fiya tolong abang kat syarikat tu. Buat masa sekarang, abang nak bagi masa untuk mereka berdua tu kenal hati masing-masing. Kalau Elman masih jugak tak dapat nak terima Hafiya dalam hidup dia, abang akan pisahkan mereka.” Pn.Mariam kerutkan dahi.
“Abang nak pisahkan mereka? Abang dah gila? Sanggup abang buat macam tu?” En.Ezhan tersenyum kelat.
“Abang tak mahu anak kita berdosa menyeksa perempuan yang baik macam Fiya tu. Kalau Elman tak dapat membahagiakan dia, kita carikan calon suami yang baik untuk dia. biar Elman tu putih mata.” Pn.Mariam geleng kepala.
“Abang sayang pada Hafiya?” P.Mariam bertanya perlahan. Wajah mendung suaminya ditatap. Biarpun wajah itu tenang, namun sebenarnya banyak kisah luka yang tersimpan kukuh di dalam hidup suaminya.
“Sayang. Yam?” En.Ezhan bertanya pula pada isterinya. Pn.Mariam angguk kepala.
“Pertama kali Yam tengok muka dia yang bersih dan lembut itu, Yam dah jatuh sayang pada dia. Begitulah wajah arwah Elfiya. Nama mereka juga hampir sama. Kalau dia masih hidup, tentu sekarang dia sebaya Fiya, kan, bang?” Pn.Mariam bersuara sedih. En.Ezhan kesat airmata. Sudah lama nama itu tidak meniti dibibir mereka. Semuanya sudah menjadi sejarah.
“Yang awak sibuk nak kerja kat syarikat papa tu kenapa? Awak nak rampas harta papa pulak? Sebab tu awak perangkap saya. Betulkan?” Hafiya mengeluh. Sudah lama mereka tidak bergaduh. Hafiya jadi malas. Dia memang malas hendak melayan marah suaminya itu. Bila penat bergaduh, walaupun semuanya itu bukan salah dirinya, dia tetap juga rasa bersalah.
“Tak mengapalah. Nanti saya bagi tahu papa, saya terpaksa menolaknya.” Elman kerutkan dahi. Dia baru saja hendak marah, tetapi Hafiya sudah mengalah. Dia tak kisah jika Hafiya hendak membantu papanya di syarikat itu. Elman sebenarnya merasa bimbang. Hampir setahun bergelar suami isteri dan segala keperluannya dijaga dengan teratur oleh Hafiya membuatkan Elman takut hendak membiarkan Hafiya jauh darinya.
“Awak tak kisah?” Hafiya pandang wajah Elman. soalan suaminya itu memang sangat menguji imannya. Walaupun dia agak kecewa sebab tidak dapat lari dari Elman buat seketika dia tetap geleng kepala.
“Saya? Saya okey je. Besok kita balik kampung,kan?” Hafiya bertanya malas. Elman angguk kepala.
“Erm...barang-barang saya awak dah kemas?” Hafiya kerutkan dahi. ‘Hari tu kata tak payah kemas barang dia. Sebab tu aku tak kemaskan,’ Hafiya garu kepala yang tidak gatal.
“Errr...bukankah awak kata tak payah kemas barang awak hari tu?” Elman pandang wajah Hafiya yang jelas keliru.
“Apa pulak tak kemaskan? Kat rumah tu pakaian saya sedikit je tau,” Hafiya mengeluh lemah. Suara Elman yang kasar itu merobek hatinya. Sedikit sebanyak dia terasa bila Elman meninggikan suara.
“Yelah. Saya naik dulu. Pukul berapa nak berangkat esok?” Hafiya berdiri dan sedia untuk beredar. Ingatkan nak berbincang, akhirnya dia pulak diberi tugas mengemas pakaian lelaki itu.
“Awal sikit. Pukul 10.00 pagi. Taklah lambat sangat sampai kat kampung. Mari. Saya pun nak naik atas,” Dengan selamba Elman menarik tangan isterinya. Hafiya tersentak namun tidak pula menolak. Dia mengekori langkah Elman. Seketika dia merasa bahagia bila jarinya digenggam kemas oleh Elman. Saat itu dia terasa seperti terbang diawangan bila jari jemari mereka bertaut. Hafiya pandang wajah bersih suaminya. Tampan. Mereka meneruskan langkah menuju ke rumah.
“Fiya tak apa-apa?” Hafiya tersentak bila mendengar suara Elman menyapa telinganya. Hafiya merasa hairan kerana tubuhnya sedang dipeluk oleh Elman.
“Errr....saya? kenapa dengan saya?” Hafiya bertanya bodoh. Elman kerutkan dahi. Baru sebentar tadi Hafiya hampir terjatuh. Nasib baik dia sempat memaut pinggang isterinya. Kalau tidak, tentu isterinya jatuh. Sangkanya Hafiya pengsan lagi kerana wanita itu langsung tidak bersuara. Hanya matanya terbuka luas merenung dirinya.
“Awak hampir terjatuh tadi. Awak tak ingat?” Elman masih memeluk pinggang Hafiya. Hafiya tersentak dan terus menolak tubuh Elman.
“Maaf,” Ucapnya gugup. Elman tersenyum kecil. Tidak lama kemudian dia ketawa besar. Hafiya berpaling dan mejeling tajam wajah suaminya yang sedang enak mentertawakannya. Elman angkat kening. ‘Ada perubahan,’ Bisiknya dalam hati. Nampaknya ketakutan Hafiya semakin berkurangan. Terleka seketika Hafiya bila menatap wajah tampan itu ketawa. ‘Betapa kacaknya dia,’ Bisiknya. Elman berpaling semula ke pintu utama. Setelah mengunci pintu rumah, Elman berpaling memandang wajah Hafiya yang masih kaku merenungnya.
“Kenapa awak takut sangat pada saya? Saya ni suami awak tau,” Elman menghampiri Hafiya yang sedang berdiri kaku di tengah rumah. Hafiya masih tidak bergerak. Seolah-olah dipukau. Redup mata suaminya membuatkan langkah kakinya seperti diikat. Matanya terus merenung wajah tampan itu. Elman terus tersenyum manis. Saat itu Hafiya seperti tunduk padanya. Perlahan Elman menyentuh bahu Hafiya dan matanya terus merenung wajah cantik itu. Dagu runcing milik Hafiya disentuh lembut. Wajah isterinya begitu mendamaikan. Tidak pernah mereka berkeadaan seperti itu. Cuba mendekati hati masing-masing tanpa ada gangguan. Hafiya benar-benar terpukau dengan ketampanan lelaki dihadapannya ini.
“Fiya akan jadi isteri El untuk selamanya.” Elman bersuara perlahan. Cukup perlahan dan hanya Hafiya yang mendengarnya.
“Fiya..saya...errr...” Elman menanti dengan sabar. Hafiya gugup.
“Ibu....Ina lapar,” Elman dan Hafiya tersentak dan berpaling memandang wajah mengantuk Nurina di kaki tangga. Cepat-cepat Hafiya menepis tangan Elman. Elman tersentak kemudian dia berpaling memandang wajah pucat Hafiya. Hafiya berlari menghampiri Nurina.
“Lapar?” Nurina angguk kepala. Petang tadi Nurina tidak mahu makan. Katanya dia terlalu letih dan perlu tidur awal. Sebab itu dia terjaga ditengah malam. Hafiya terus menarik tangan Nurina dan membawanya ke dapur. Elman mengeluh. Beberapa saat kemudian dia tersenyum dan menggeleng kepala.
“Kenapa dengan aku ni? Tapi, Fiya memang cantik.” Bisiknya sendirian. Elman menaiki tangga menuju ke bilik sambil menyanyi.
*************************

Sunday 5 February 2012

http://mforum2.cari.com.my/archiver/?tid-627988.html

Thursday 2 February 2012

Jangan kau pergi 10

“Awak, baju ni nak letak kat mana?” Hafiya bertanya sambil tangannya penuh dengan pakaian Elman. Elman yang sedang leka membetulkan rambutnya dihadapan cermin berpaling.

“Letak kat dalam almari tu.” Jawabnya malas. Hafiya kerutkan dahi. ‘Apasal pulak orang tua ni? Macam merajuk je,’ Hafiya membuka pintu almari pakaian dan menyusun pakaian suaminya di dalam almari. Tinggal beberapa hari lagi mereka tinggal di situ. Cuti sekolah akan berakhir tidak lama lagi. Mungkin hari ahad mereka akan kembali ke kampung. Hafiya berpaling. Melihat Elman yang berpakaian kemas menimbulkan persoalan. Selama mereka tinggal di rumah tersebut, tidak pernah Elman keluar malam. Tetapi malam ini lagak suaminya seperti hendak berjumpa kekasih. Mungkinkan Elman hendak berjumpa dengan kekasihnya. Hafiya tidak pernah bertanya tentang masa lalu Elman. Sama ada lelaki itu punya kekasih sebelum mereka bernikah. Tiba-tiba hatinya terasa pedih.

“Saya nak keluar jumpa kawan. Mungkin balik lambat. Awak tak payah tunggu saya, awak tak kisahkan?” Hafiya berpaling memandang wajah Elman.

“Ahh…Owh!!...ye..ye..” Hafiya tidak tahu mengapa lidahnya terasa kelu hendak menjawab pertanyaan Elman itu.

“Kalau ada apa-apa hal, telefon saya.” Katanya sebelum berlalu meninggalkan Hafiya yang masih terpinga-pinga. Hafiya garu kepala bila melihat Elman terus berlalu tanpa sempat dia bertanya. Beberapa minit kemudian Hafiya berlari keluar dari bilik. Namun dia hampa bila melihat kereta Elman sudah berada diluar pagar.

“Kenapa Fiya?” Pn.Mariam bertanya lembut pada menantunya.

“El..errr..Abang El lupa bawak telefon dia. Fiya tak sempat nak bagitahu dia tadi,” Hafiya menunjukkan telefon bimbit tersebut pada ibu mertuanya. Pn.Mariam geleng kepala.

“Dia nak pergi ke mana tu?” Pn.Mariam bertanya sambil menghampiri Hafiya yang sedang merenung jauh ke halaman rumah. Namun soalannya tidak dijawab.

“Fiya…Fiya..” Pn.Mariam sentuh bahu Hafiya membuatkan menantunya itu tersentak.

“Mama…er..apa dia?” Soalnya gugup. Telefon bimbit Elman masih dipegangnya.

“Elman tu nak pergi ke mana?” Hafiya garu kepala yang tidak gatal.

“Katanya nak jumpa kawan dan mungkin balik lambat.” Hafiya dan Pn.Mariam melangkah masuk ke dalam rumah setelah mengunci pagar dan pintu.

“Owh…Fiya pergilah berehat.” Hafiya angguk kepala. Langkah kaki diatur ke bilik tidur. Sebelum kakinya melangkah ke bilik, telefon bimbit ditangannya berdering. Lama telefon tersebut dipandang. Pangilan terhenti seketika. Tiada nama yang tertera di skrin telefon tersebut. Beberapa saat kemudian teltefon tersebut berbunyi lagi. Hafiya berkira-kira sama ada hendak menjawab panggilan tersebut. Tetapi jarinya terlebih dahulu menekan butang hijau.

“Assalamualaikum,” Hafiya bersuara perlahan.

“Waalaikumsalam. Errr…awak siapa?” Suara perempuan bertanya lembut. Hafiya tergamam seketika. Terpikat dia mendengar kelembutan suara wanita itu.

“Err…saya…saya…err…awak siapa?” Akhirnya Hafiya pula bertanya siapa perempuan itu. Perempuan itu ketawa halus.

“Saya kawan Elman. Elman ada dirumah tak?” Hafiya telan air liur. Terasa tekaknya kering.

“Errr…dia dah keluar. Tetapi telefon dia tertinggal,” Hafiya mula bersuara seperti biasa.

“Dia ni..memang pelupa betul. Okeylah. Saya tunggu dia jelah. Awak ni siapa?” Tersentak Hafiya mendengar wanita itu bertanya. Sangkanya dia akan terlupa hendak bertanya lagi.

“Err….saya pembantu rumah En.Elman.” Hafiya bersuara lemah.

“Owh…okey. Terima kasih. Nama awak tadi? Lupa pulak nak Tanya,” Wanita itu ketawa halus. Hafiya turut sama ketawa.

“Fiya. Panggil saya Fiya.” Hafiya menjawab senang.

“Okey Fiya. Senang berborak dengan awak. Saya bosan tunggu majikan awak tu datang. Rasa anak raja pulak dia. Tak patut langsungkan. Perempuan tunggu lelaki. Nampak sangat saya ni mengada-ngada.” Panjang lebar dia bercerita. Hafiya tergelak kecil.

“Cik sabar lah. Kejap lagi sampailah dia,” Hafiya berkata perlahan.

“Dah lama berkerja dengan mereka? Kenapa sebelum ni tak pernah tahu pun Elman ada pembantu rumah,” Wanita itu bertanya pelik. Hafiya gugup.

“Err….cik…maaf, saya kena buatkan air untuk ma…untuk puan saya. Saya terpaksa letak ye?” Hafiya hampir tersasul.

“Owhh… okey. Maaf mengganggu awak.” Hafiya mengurut dada. Lapang rasa dadanya setelah talian diputuskan.

“Agaknya dia kekasih Elman. Tentu dia seorang gadis yang baik.” Hafiya terasa sedih. Perlahan tubuhnya dibaringkan di atas katil. Merenung siling bilik bagi menenangkan perasaannya. Beberapa minit kemudian wajahnya dipalingkan ke dinding pula.

“Mengapa baru sekarang aku memikirkan tentang hal ini? Hubungan ini harus dihentikan.” Ucapnya perlahan. Mengenang nasib diri yang sering gagal dalam perkahwinan membuatkan Hafiya terasa sedih. Airmata mengalir tanpa dipinta. Kadangkala dia merasakan Tuhan tidak adil padanya. Namun dia cepat tersedar bahawa semua yang terjadi adalah ujian yang Allah berikan padanya. Seharusnya dia terima dan berusaha bertahan selagi termampu. Kerana dia yakin kebahagiaan tidak hadir dengan senangnya. Ditanam di dalam hati bahawa dia perlu berusaha mencari kebahagiaan diri. Mungkin berkahwin dengan Elman adalah jalan untuk dia mengecapi bahagia biarpun tidak bersama lelaki itu.

“Kalau begitu lebih baik aku terima tawaran papa. Tapi….mungkin aku susah hendak lepaskan diri dari keluarga ini kelak.” Hafiya teringatkan tawaran yang En.Ezhan padanya.

“Bekerja sambil belajar? Okey jugak.” Hafiya tersenyum. matanya terus merenung siling bilik. Kerana terlalu letih, Hafiya tidak sedar bila dia tertidur. Dia terjaga dari tidur bila merasakan perutnya sakit. Memulas-mulas. Hafiya berlari ke tandas. Beberapa kali Hafiya berulang alik ke tandas. Hendak menelefon Elman, telefon bimbit lelaki itu tertinggal. Akhirnya Hafiya tertidur sambil menggenggam telefon bimbit Elman.


*************************

“El…sini.” Elman tersenyum bila matanya menangkap seraut wajah yang sudah lama menghilang. Wanita yang dulunya sering membantunya dalam setiap perkara.

“Kaira…Wah!!!! Makin cantik kawan aku ni,” Elman menarik kerusi lalu duduk dihadapan sahabatnya. Kaira tersenyum bangga.

“Tengok oranglah. Kau pun apa kurangnya. Makin handsome sekarang. Hati senang.” Elman angguk kepala dan tersenyum.

“Nak makan apa? Nantilah nak gaduh. Kita makan dulu,” Kaira angguk kepala. Kaira melambai tangan pada pelayan yang bertugas.

“Ye cik..nak makan apa?” Kaira dan Elman membelek menu. Kaira kerutkan dahi.

“Kau nak makan apa?” Kaira pandang wajah Elman. Elman sedang garu kepala. Dia sebenarnya sudah lama tidak makan diluar. Lagipun sejak berkahwin dengan Hafiya lidahnya sudah serasi dengan masakan Hafiya. Terasa tak tertelan jika orang lain yang memasak untuknya. Matanya terpandang hidangan ketam. Serta merta senyum terukir dibibir. Kejadian Hafiya pengsan beberapa hari yang lepas membuatkan Elman tergelak kecil.

“Weh!! Aku suruh kau order makanan tu, bukan suruh kau gelak. Rosak betul budak ni,” Kaira merungut. Elman angkat wajah dan merenung wajah masam sahabatnya dengan sisa-sisa senyuman.

“Nanti aku cerita kat kau apa sebab aku jadi rosak macam ni. Dik, bagi Nasi Bariani Ayam Kari ye,” Elman menyerahkan semula buku menu tersebut.

“Airnya, bang?” Elman terdiam seketika.

“Bagi Kopi Tarik kurang manis,”

“Bagi saya Nasi Goreng Tomato. Kurang pedas ye. Air pulak, Rebina Sprite,” Setelah memesan makanan, Kaira pandang wajah ceria sahabatnya. Elman dilihatnya seperti berada diawangan. Kadangkala tersenyum. ada masanya wajah itu muram.

“Kau ni kenapa? Senyap je aku tengok,” Kaira memulakan perbualan. Elman tersentak.

“Kaira, aku dah kahwin,” Elman berkata yakin. Kaira kerutkan dahi. Lama otaknya memproses kata-kata yang keluar dari mulut sahabatnya.

“Kau dah…. Apa tadi?” Kaira bertanya lagi untuk kepastian.

“Aku dah kahwin. Hampir setahun.” Elman pandang wajah tidak percaya Kaira.

“Jangan nak buat lawak okey,” Kaira tersenyum kecil. Elman buat muka serius. Lama kelamaan senyuman Kaira mati. Lama wajah Elman ditatap.

“Betul ke?” Elman hanya mengangguk kepala.

“Kau tipu akukan? Kau sengaja nak kenakan aku. Maklumlah dah lama kau tak kenakan aku,” Elman geleng kepala. Kaira kecilkan matanya.

“Kenapa rakan-rakan yang lain tak bagitahu aku?” Kaira masih tidak percaya. Elman menyandar lemah.

“Takde orang lain yang tahu selain keluarga aku dan juga orang-orang kat kampung isteri aku tu.” Elman pun menceritakan semua perkara yang terjadi semenjak dia berkahwin. Terlopong mulut Kaira dibuatnya.

“Habis tu, mana perempuan tu sekarang?” Kaira bertanya teruja. Elman mendiamkan diri.

“Cantik tak? Mesti cantikkan? Kalau tak, tentu muka kau monyok macam kucing hilang anak,” Kaira tersengih. Elman berdengus kasar. Kemudian dia tersenyum bila membayangkan wajah kelat Hafiya bila dipanggil kucing.

“Kan aku dah kata. Susah betul dengan orang dah angau ni. Isteri kau tu dah mengandung?” Elman terbatuk. Air yang diminum terkeluar. Kaira tergelak besar. Suka melihat wajah Elman yang merona merah itu. Sudah lama dia tidak mengusik temannya itu.

“Kau ni…banyak betul soalan. Satu pun aku belum jawab kau dah tanya soalan macam tu. Apa punya soalanlah. Kami berdua terpaksa berkahwin dan sekarang kami tinggal bersama. Lagipun..tak…” Kata-kata Elman terhenti bila Kaira angkat tangan.

“Jangan kata kau tak berselera nak sentuh isteri kau sudahlah. Nanti memakan diri. Lelaki bukan boleh percaya sangat. Kau tu macam kucing. Depan tuan tunjuk baik, bila orang dah leka, mulalah tunjuk kuku.” Kaira tersenyum lagi. Wajah kelat temannya itu mengundang rasa lucu.

“Mengutuk aku. Macamlah dia tu banyak sangat pengalaman. Aku nak cakap, aku tak nak paksa dia terima aku. Biarlah keadaan yang menentukan jodoh kami. Err…lupa pulak nak tanya. Suami kau apa khabar?” Kaira terbatuk. Oleh kerana leka melayan cerita Elman, dia terlupa hendak memberitahu sahabatnya itu tentang dirinya. Kaira mengeluh.

“Kau tahu, susah betul kahwin dengan anak orang kaya.” Kaira bersuara perlahan. Elman kerutkan dahi. Wajah Kaira dipandang dengan riak hairan. Kaira berkahwin dalam usia muda atas sebab mereka saling mencinta. Oleh kerana mereka berpeluang menyambung pengajian di luar negeri, maka mereka membuat keputusan untuk berkahwin bagi mengelak perkara-perkara yang tidak diingini.

“Apa yang susahnya? Keluarga kau pun okey juga. Habis tu macamana sekarang?” Elman menghirup airnya.

“Keluarga kami okey. Sekarang dia nak kahwin lain.” Terlopong mulut Elman mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Kaira.

“Hai....tak cukup sorang ke? Aku, isteri Cuma seorang lagi rasa pening kepala nak fikir. Nak pasang lagi satu? Memang hebat suami kau tu,” Kaira geleng kepala.

“Kau lain, dia lain. Dia rasa dia mampulah tu. Tapi aku bagi tahu dia, kalau dia nak kahwin lain, dia mesti lepaskan aku.” Elman angguk kepala.

“Faham sangat. Perempuan memang kedekut.” Kaira menjeling tajam.

“Bukan kedekut. Kalau suami yang adil, aku tak kisahlah. Ni, baru bercinta dah abaikan isteri pertama. Kalau dah kahwin, 100 peratus lupa pada isteri tua.” Kaira bersuara kasar. Elman terdiam.

“Kau nak tahu, isteri aku pun kena cerai jugak. Sebab suami dia nak kahwin lain. Anak-anak, isteri aku yang jaga. Kasihankan. Walaupun kami berkahwin sebab terpaksa, tapi bila aku fikirkan, aku bernasib baik kahwin dengan dia. Dapat anak segera.” Elman ketawa besar.

“Ye. Tentu kasihankan. Macam aku ni tak mengapalah. Anak belum ada lagi.” Kaira bersuara lemah.

“Aku hairan betullah tengok kau, dah lama kahwin, takkan takde keinginan nak ada anak?” Elman bertanya pelik. Hampir 7 tahun berkahwin tapi masih belum ada anak. Apa yang mereka kejarkan sangat harta dunia ni? Kaira geleng kepala.

“Sebab aku nak anaklah dia cari perempuan lain. Dia tak nak ada anak dulu. Belum puas nak enjoy. Entahlah. Aku ni makin hari makin tua. Orang lelaki okeylah kahwin lambat. Orang perempuan, masanya singkat. Kalau melahirkan anak umur 30 tahun ke atas, ada risiko.” Elman angguk kepala.

“Aku nak nasihatkan kau, lebih baik kau rancang untuk dapat anak dalam masa terdekat ni.” Elman garu kepala. Mahukah Hafiya mengandungkan zuriatnya. Elman mengeluh.

“Perempuan hatinya lembut. Yang penting kau kena tunjukan yang kau ni seorang yang boleh dipercayai. Beri keyakinan padanya yang kau ni seorang lelaki yang boleh diharapkan. Melindungi dia dan anak-anaknya,” Elman angguk kepala.

“Macam kaunselor la pulak.” Elman bersandar di kerusi. Sesekali matanya melihat jam di tangan. Malam semakin gelap.

“Kenapa? Gelisah semacam je? Kau nak balik?” Kaira menghirup air minumannya. Elman tersengih. Kaira juga turut sama melihat jam dipergelangan tangannya.

“Memang dah lambat pun. Kasihan pulak bini kau. Tertunggu-tunggu kau balik.” Kaira tersenyum. Elman tersenyum.

“Tak kuasa dia nak tunggu aku balik. Aku dah suruh dia tidur awal tadi,” Elman menjawab perlahan. Dalam hati mengharapkan Hafiya menunggu kepulangannya. ‘Nampaknya tak dapatlah aku tengok muka dia yang bersih itu.’ Elman mengeluh perlahan.

“Okeylah. Jum balik. Aku pergi bayar bil dulu,” Kaira berjalan ke kaunter.

“Kau belanja ye?” Elman tersengih.

“Yelah. Lain kali kau belanja. Bawak isteri dan anak-anak kau.” Elman angguk kepala. bersama Kaira umpama dia bersama kakaknya. Kaira tempat mengadu segala masalah, tempat dia mendapat secebis kasih sayang seorang kakak.

“Hati-hati bawa kereta tu. Jangan fikir nak cepat sampai je. Ingat anak isteri, tapi keselamatan kena jaga. Aku blah dulu.” Kaira berlalu ke keretanya. Elman geleng kepala. persahabatan yang terjalin belasan tahun antara mereka berdua tetap akrab.

*******************************

Perlahan langkah kakinya menghampiri katil mereka. Wajah tenang Hafiya yang sedang lena itu mendamaikan. Tersenyum Elman bila mengingatkan tindakan Hafiya bila tahu dirinya direnung begitu. Elman memandang sekeliling mencari kain selimut untuk menutup tubuh isterinya yang sudah meringkuk kesejukan. Namun matanya terhenti pada telefon bimbit ditangan Hafiya. Dahi dikerutkan dan tangannya meraba poket seluar. Elman tepuk dahi bila menyedari dia tertinggal telefon bimbitnya. Perlahan telefon tersebut dicapai. Elman tersenyum lagi. Beberapa saat kemudian Elman menyedari sesuatu. Wajah Hafiya yang tenang tadi berubah riak. Gelisah. Tangan isterinya itu menyentuh perut. Elman gelabah bila melihat Hafiya perlahan membuka mata.

“Awak?” Hafiya bertanya lemah. Dahinya berpeluh. Elman menghampiri Hafiya semula.

“Ye. Saya. Kenapa ni? Fiya demam?” Hafiya geleng kepala. dia berusaha duduk namun tidak berdaya.

“Awak ada ubat tahan sakit tak?” Hafiya bertanya lemah. Rambutnya yang panjang dan terurai itu cuba diikat. Namun sakit diperut membuatkan dia gagal mengikat rambutnya. Elman merampas ikat rambut Hafiya dan dengan selamba mengikat rambut isterinya.

“Ubat tahan sakit? Untuk apa?” Elman bertanya pelik. Wajah pucat Hafiya mengundang rasa cemas.

“Sakit perut.” Hafiya duduk sambil memeluk lutut. Selepas Elman keluar tadi, tiba-tiba perutnya terasa sakit. Sudah beberapa kali dia berulang alik ke tandas. Niat dihati hendak menghubungi Elman. Tetapi telefon bimbit Elman tertinggal.

“Sakit perut? Awak salah makan?” Hafiya angguk kepala. mungkin sebab siang tadi dia terlalu banyak sangat makan buah mempelam muda.

“Kan saya dah cakap siang tadi, jangan makan banyak sangat buah tu. Degil. Sekarang siapa yang susah?” Elman membebel. Hafiya hanya merenung kaki sendiri. Memang salahnya sebab tidak mendengar larangan Elman siang tadi. Buah mempelam memang buah kesukaannya.

“Habis tu, masih sakit lagi? nak ke klinik?” Elman cekak pinggang di hadapan Hafiya. Hafiya angkat muka kemudian laju kepalanya digeleng.

“Tak nak. Dah okey dah. Awak ada tak ubat tahan sakit tu?” Hafiya bertanya sambil buat muka kasihan. Elman geleng kepala.

“Takde. Ubat sakit perut adalah. Tunggu sekejap.” Elman berlalu keluar dari bilik. Hafiya mengeluh lega. Bimbang Elman memarahinya semula. Kemudian dia tersenyum. Nasib baik Elman tidak ada di rumah ketika dia sentiasa berulang alik ke tandas, kalau tak, tentu semakin bising mulut lelaki itu mentertawakannya.

“Nah! Makan ubat ni.” Hafiya menyambut ubat yang dihulur oleh Elman.

“Pahitnya. Ubat apa ni? Tak pernah saya makan ubat yang pahit sangat ni,” Hafiya berusaha menelan ubat tersebut. selama dia hidup, tak pernah dia merasa ubat yang sepahit itu.

“Itulah ubat yang paling mujarab. Mahal saya beli tau. Dahlah, saya nak mandi,” Elman mencapai kain tuala dan beredar ke bilik air. Wajah Hafiya kelat. teras hendak muntah bila ubat tersebut terkena tekaknya. Perlahan Hafiya berlalu ke dapur.

************************

Jangan kau pergi 9

“Awak dah sedar?” Elman bertanya risau. Hafiya kerutkan dahi. Kepalanya terasa berat sekali. Hafiya sentuh bibirnya.
“Kenapa dengan bibir saya ni?” Hafiya bertanya pelik sambil jari-jemarinya bermain dengan bibir tebalnya. Elman mengulum senyum. Hafiya pandang wajah merah Elman yang jelas menahan ketawa. Perlahan Hafiya turun dari katil dan menghampiri meja solek.
“Arghhhhhhhhhhhh!!!!!!!!” Elman hampir terjatuh dari katil bila mendengar suara Hafiya menjerit kuat.
“Kenapa dengan bibir saya ni? Awak, apa awak dah buat kat saya ni?” Hafiya bertanya sambil bercekak pinggang. Elman terus tergelak besar. Wajah bengang isterinya membuatkan ketawanya semakin kuat.
“Awak, kenapa dengan bibir saya ni?” Hafiya terasa matanya digenangi airmata. Sebelum sempat airmatanya menitis, pantas jarinya menyeka airmata tersebut.
“Awak tak ingat langsung apa yang terjadi semalam?” Elman bertanya setelah ketawanya reda. Hafiya termenung seketika. Dia cuba mengingati apa yang terjadi semalam. Daya ingatannya seakan-akan lumpuh. Langsung tidak dapat mengingati apa yang berlaku. Elman garu dagunya sambil berjalan menghampiri Hafiya yang masih menyentuh bibirnya yang membengkak itu.
“Saya rasa, semalam saya tak sengaja tergigit bibir awak sewaktu kita berdua...ehem...sedang buat...” Wajah Hafiya semakin merona merah bila dia dapat menangkap apa yang cuba suaminya katakan padanya. Hafiya tutup telinga.
“Cukup. Awak jangan nak reka cerita. Saya tak suka dengar,” Hafiya terus terduduk menangis. Elman tersentak. Tidak menyangka sampai begitu sekali reaksi Hafiya. Melihat Hafiya menangis teresak-esak, timbul rasa bersalah dalam diri Elman. Teringat kejadian Hafiya pengsan sewaktu dipeluknya malam yang lepas.
“Err...maaf.” Elman bersuara perlahan. Elman menghampiri Hafiya dan berlutut dihadapan isterinya. Perlahan tangan Hafiya yang menutup telinganya itu ditarik.
“Okey. Saya minta maaf. Saya tipu je. Bibir awak jadi macam tu sebab awak allergic makan ketam.” Hafiya angkat muka. Merenung wajah bersalah suaminya.
“Betul?” Soalnya inginkan kepastian. Elman angguk kepala.
“Jadi..bukan sebab awak dan saya buat perkara tu?” Sekali lagi Elman angguk kepala. Hafiya merenung jauh ke dasar mata suaminya. Agak lama mereka berbalas renungan sehingga akhirnya Hafiya melarikan wajahnya.
“Ehemmm...okeylah. Saya pergi dulu. Nanti jangan lupa sapu krim ni. Dah macam bibir Angelina Jolie. Seksi,” Elman sempat juga mengusik. Hafiya menjeling tajam. Tangannya menutup bibir yang bengkak itu.
“Kenapa Fiya makan jugak ketam tu? Tengok siapa yang susah?” Elman membebel. Hafiya hanya mendiamkan diri. Malas mahu berdebat dengan lelaki itu kerana yakin, akhirnya dia juga yang terpaksa mengalah. Debaran didada ketika berbalas renungan tadi masih mengganggu dirinya.
“Nasib baik budak-budak tu tak apa-apa.” Hafiya pandang wajah Elman. Lelaki itu sedang menyikat rambut sambil membelek wajahnya dihadapan cermin.
“Mereka berdua tak apa-apa?” Hafiya bertanya cemas. Dia langsung tidak dapat mengingati kejadian semalam.
“Mereka okey. Awak tu je yang tak okey. Buat saya terkejut je. Baru habis makan seekor dah pengsan. Lepas tu langsung tak sedar diri,” Hafiya peluk bantal peluknya.
“Saya pengsan? Teruk sangat ke keadaan saya masa tu?” Hafiya bertanya lemah. Elman pandang wajah mendung isterinya.
“Ye. Saya tak pernah pun tahu ada orang pengsan lepas makan ketam. Hari tu kena peluk pun pengsan. Makan ketam pun pengsan. Apa lagi yang boleh menyebabkan awak pengsan?” Hafiya kerutkan dahi. Wajah serius Elman dipandang.
“Saya...saya tak tahu,” Jawabnya ringkas. Elman mengeluh.
“Dahlah. Tidur lagi. Saya nak ke bawah. Awak nak tengok tv?” Elman bertanya pada isterinya sebelum tangannya membuka pintu bilik mereka. Hafiya pandang jam dinding. ‘Dah jam 2 pagi. Cerita apa yang masih ditayang,’ Wajah keliru dilemparkan pada Elman yang setia menanti.
“Saya nak tidur.” Elman angguk kepala dan berlalu. Sebenarnya Elman sengaja melarikan diri dari Hafiya. Rasa hati tidak tenteram setelah mendengar ceramah dari ayahnya petang tadi. Kalau semalam elok saja dia tidur sebilik dengan Hafiya biarpun tidak tidur di atas satu katil. Elman mengeluh dan bersandar di sofa. Lengan diletakan di atas dahi.
“Papa hanya nak ingatkan El. Lagipun, Fiya mungkin berfikir, El tak suka padanya. Buat apa dia hendak menghabiskan masa bersama El? Betulkan?”
Elman tidak lena tidur memikirkan kata-kata papanya.
*******************************.
“Fiya seronok tinggal kat sini?” En.Ezhan bertanya sambil memeluk Alif. Hafiya tersenyum. Memandang sekeliling kawasan rumah besar itu membuatkan Hafiya terasa sangat kerdil. Rsa tidak layak untuk tinggal di situ. Halaman rumah yang dihiasi landskap yang indah sekali. Pasti pereka landskap ini seorang yang berilmu tinggi.
“Suka. Tapi rasa tak sesuai.” Hafiya berterus terang.
“Kenapa pulak tak sesuai?” En.Ezhan kerutkan dahi. Hafiya tersengih.
“Sepatutnya papa dan mama dapat menantu yang jauh lebih baik, yang berpelajaran tinggi. Tak macam Fiya ni. Sekolah pun sampai tingkatan 6 je.” Hafiya merendah diri. En.Ezhan tergelak.
“Fiya..Fiya... itu namanya jodoh. Tak semestinya orang pandai kena kahwin dengan orang bijak pandai jugak. Fiya tahu tak, mama Fiya tu sekolah sampai darjah 6. Papa bahagia jugak. Tengok rumah ni, cantik tak? Semuanya mama yang reka.” Hafiya tergamam.
“Betul?” Soalnya teruja. Baru sebentar tadi dia memuji halaman rumah yang cantik itu.
“Ye. Tak semestinya ilmu perlu dituntut sampai ke menara gading. Kadangkala ilmu dunia kita kena cari melalui cara lain. Orang-orang kampung tu, yang bertukang buat rumah, bercucuk tanam. Mereka semua tak pernah dapat pendidikan yang khusus. Tetapi mereka menggunakan akal dengan sebaiknya. Setiap manusia ada kelebihan dan kekurangan. Jangan memandang rendah pada mereka yang tidak berpelajaran. Sebab itu papa suka bila Elman berkahwin dengan Fiya.” Panjang lebar nasihat yang diberikan. Hafiya angguk kepala. kagum dengan pandangan En.Ezhan. Sedikit pun tidak memandang rendah pada orang lain.
“Memang betul. Masa arwah mak dan ayah masih hidup, Fiya selalu dengar mak dan ayah bercerita tentang bagaimana nak buat saliran untuk air mengalir supaya hasil tanaman menjadi. Mak dan ayah belajar sampai darjah dua kalau tak silap saya. Tetapi ilmu mereka banyak.” En.Ezhan tersenyum.
“Tapi itu dulu. Sekarang ni, manusia berlumba-lumba menghantar anak mereka sambung belajar. Masing-masing nak tengok anak mereka masuk university.” Hafiya bersuara perlahan lagi.
“Kalau tinggal kat bandar, ilmu memang perlu. Nak minta kerja perlu sijil, ijazah dan kelayakan yang diiktiraf. Sebenarnya, papa ada hal nak bincang dengan Fiya,” Fiya pandang wajah bapa mertuanya.
“Papa ingat nak hantar Fiya sambung belajar. Fiya nak?” Hafiya tersentak. Tidak menyangka usul tersebut keluar dari mulut bapa mertuanya.
“Err...saya..saya..” Hafiya gugup. Jauh disudut hati memang dia ingin menyambung pengajiannya. Tetapi semenjak kehadiran Alif dan Nurina, niat itu semakin hari semakin berkubur.
“Kalau Fiya nak, nanti papa tolong aturkan. Ataupun, kalau Fiya tak nak full time, Fiya boleh buat PJJ. Sambil tu, tolong papa kat pejabat. Nak?” Hafiya terkejut. Offer yang bagus. Namun dia harus memikiran banyak perkara.
“Err...Fiya...saya rasa takpelah papa. Fiya senang macam ni. Papa bagilah pada mereka yang lebih layak,” Hafiya bersuara perlahan.
“Tapi, papa nak tolong Fiya. Sambil itu, papa nak tolong papa sendiri.” Hafiya angkat muka. Pelik mendengar ayat yang terakhir itu.
“Tolong papa sendiri?” Hafiya bertanya pelik. En.Ezhan tersenyum.
“Yelah. Kalau Fiya sambung belajar dan bekerja di syarikat papa, dapat jugak membantu papa. Lagipun, Elman dah jelas tak berminat nak ambil alih syarikat tu. Umur papa ni semakin meningkat. Kalau papa dah takde kelak, macamana dengan syarikat tu kelak.” Hafiya mengeluh. Itulah susahnya kalau anak hanya seorang. Lebih-lebih lagi ahli perniagaan seperti En.Ezhan. Syarikat hasil titik peluhnya itu mungkin akan jatuh ke tangan pemegang syer yang lain. Sia-sia sahaja usaha En.Ezhan kelak. Namun Hafiya juga harus memikirkan dirinya. Hubungannya dengan Elman masih tidak jelas. Dia tidak tahu adakah Elman mahu dia menjadi isterinya selamanya atau akan tiba satu saat dia akan diceraikan.
“Bagi Fiya masa. Fiya kena fikir dari pelbagai sudut. Nak kena tanya E...errr...Abang El dulu,” Fiya terasa janggal hendak memanggil Elman dengan panggilan abang. En.Ezhan tersenyum.
“Yelah. Papa bagi Fiya masa. Berbincanglah dengan Elman. Tetapi papa sangat berharap Fiya terima cadangan papa tu,” Hafiya angguk kepala. Alif tertidur di dalam pangkuan En.Ezhan.
“Tertidur pula cucu atok ni,” Mesra sekali En.Ezhan bila bersama Nurina dan Alif.
“Biar Fiya hantar dia ke bilik dulu,” Hafiya berdiri menghampiri En.Ezhan.
“Takpe. Biar papa bawak dia. Malam ni, biar dia tidur dengan papa dan mama. Boleh tak?” Hafiya garu kepala.
“Tak menyusahkan papa dan mama?” En.Ezhan tersenyum. Hafiya mengekori langkah En.Ezhan masuk ke dalam rumah.
“Kenapa bang? Alif tidur?” Pn.Mariam menghampiri suami dan menantunya.
“Ye. Malam ni biar Alif tidur dengan kita. Okey tak?” Pn.Mariam tersenyum lebar. Hafiya hanya memerhati raut wajah pasangan suami isteri yang begitu gembira sekali melayan anak-anaknya.
“Takpe ke Fiya?” Pn.Mariam bertanya perlahan pada Hafiya. Hafiya angguk kepala. kemudian mereka terus membawa Alif ke bilik. Hafiya hanya merenung langkah pasangan suami isteri itu.